Mizu: Di bulan Syawal yang mulia penuh rahmat ni, kita elok banyak bersedekah.
Zamre: Betul tu, lebih-lebih lagi anak yatim ... yatim piatu.
Mizu: Tak semua anak yatim kita dapat pahala bila sedekah!
Zamre: Semualah! Ustaz ada cakap macam tu dulu ....
Mizu: Memanglah ustaz ada cakap macam tu ... tapi tak semua. Ada anak yatim yang kita sedekah tak dapat pahala, habis duit aje ....
Zamre: Anak yatim macam mana pulak tu?
Mizu: Alahai, contoh yang paling dekat ada depan mata.
Zamre: Siapa?
Mizu: Macam bos kita!
Zamre: Bos kita?
Mizu: Ha, la ... bos kita tu kan ke anak yatim. Yatim piatu pulak lagi!
Zamre: Ha!ha!ha! ... buat lawak sekupang la kau ni. Bos kita tu memanglah golongan yang tak layak terima sedekah! Dia yang sepatutnya sedekah pada kita!
Mizu: Tadi kau juga yang cakap anak yatim, kan?
Zamre: Ya lah! Anak yatim betulah tu ... tapi kanak-kanaklah, namanya pun anak yatim, bukannya orang tua! Kalau kategori anak yatim termasuk orang yang dah dewasa ...ramailah orang yang masuk dalam golongan ni! Orang yang dah dewasa ni tak bolehlah dimasukkan dalam golongan yatim piatu, mereka tu dah bercucu pun! Eh!! Kenapa kau tiba-tiba cerita pasal derma pada anak yatim ni? Kau nak minta derma ke?
Mizu: Idaklah gitu! Tadi tu ha ... aku nampak ada budak minta sedekah kat kau, kau buat tak tau je.
Zamre: Ooo ... budak tadi tu?! Bukan orang sini pun ....
Mizu: Kalau bukan orang sini pun, apalah salahnya kau hulur sekupang dua, tak luak pun duit kau tu ... entah-entah anak yatim, ha! ... Berganda pahala tau!
Zamre: Memanglah aku nak bagi pada mulanya, tu pasal aku berhenti tadi ... tapi seluk punya seluk, tak ada duit pecah!
Mizu: Teruk betullah kau ni, nak bersedekah pun berkira sangat! Bagilah yang elok, janganlah bagi yang dah tak elok sampai tak boleh nak guna. Bagilah dua tiga kupang.
Zamre: Tak ada! Kalau kau ada duit pecah, baklah aku pinjam dulu. Aku memang berniat nak sedekah tadi. Baklah duit pecah kau tu dulu ....
Mizu: Merepeklah kau ni! Aku pun tak ada simpan duit pecahlah, kalau ada dapat pun aku dah tukar kat Bank Negara dah! Kau ni betul-betul kejamlah!
Zamre: Kejam?
Mizu: Ha aa ... kejam! Kalau kau bagi dia duit pecah, harap ajelah dia bila duit tu tak laku ... takkan dia nak pergi bank tukar pulak, kalau gitu baik tak payah bagi!
Zamre: Apasal duit pecah tak laku pulak? Aku selalu pakai ... laku je!
Mizu: Kalau duit dah pecah-pecah dan koyak-koyak, kedai tak mau terima tau?!
Zamre: Kalau duit pecah-pecah dan koyak memanglah orang tak mau terima.
Mizu: Hah! Taupun ... habis tu kenapa kau nak bersedekah duit yang macam tu?
Zamre: Eh! Aku bukan nak sedekah duit yang koyak, pecah-pecah ... aku nak sedekah duit pecah!
Mizu: Duit pecah?
Zamre: Ha laa ... duit kecil, aku ada not lima puluh aje ni, itupun tinggal sekeping aje, nilah nak simpan sampai gaji, kau faham-faham ajelah lepas raya ni ... kalau ada duit pecah, aku bagilah kat budak tu tadi. Seluk punya seluk .... sekupang pun tak ada.
Mizu: Duit pecah ni duit kecil la ya?!
Zamre: Ha la ... kau ingat apa?
Mizu: He He He .... Aku ingat duit yang dah pecah-pecah tu ....
Duit pecah - duit kecil, duit syiling
Bak - beri, kasi
p/s: dipetik drpd ruangan sastera di Berita Harian, Bersama Prof Madya Dr Nor Hisham Osman, Pensyarah Jabatan Linguistik, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM)
Ucapan Selamat Menyambut Hari Malaysia 16September. Mari sama2 menghargai keharmonian yg telah dikecapi bersama....
No comments:
Post a Comment