PADA suatu pagi ....
Naim: Hang dah tau ka?
Arif: Tau apa?
Naim: Laa ... hang tak tau la lagi ka??
Arif: Kau tak bagi tau, macam mana aku nak tau! Tau apa?
Naim: Ni ha ... kawan kita tu ... jatuh mutu!
Arif: Jatuh moto?! Siapa?
Naim: Kawan kita tu la ....
Arif: Yalah! Aku taulah kawan kita ... tapi siapa? Kawan kita bukannya sorang je!
Naim: Padil ....
Arif: Padil?! Hah! Kalau kau cakap dari tadi kan senang. Eh! Teruk ke?
Naim: Tak la teruk sangat, tapi kemarin aku tengok kaki dia bersimen. Hang pi la tengok ....
Arif: Kat hospital mana?
Naim: Dah tak duduk wad ... ada kat rumah dia.
Arif: Oo ... kat rumah, nanti petang aku pergi jenguk. Tapi maca mana dia kemalangan ek? Orang langgar ke?
Naim: Dia kata jatuh sendiri.
Arif: Jatuh sendiri?!
Naim: Ha’a, langgaq tiang lampu isyarat.
Arif: Macam mana boleh jadi macam tu ....
Naim: Aku tak heran dia jatuh mutu tu.
Arif : Kenapa pulak? Dia dah lama bawa moto, bukannya baru sehari dua ... cekap dah tu!
Naim: Tak kan hang tak tau perangai dia tu ... jenih cemekap! Semua kerja cemekap ... naik mutu pun cemekap!
Arif: Memanglah, kan aku dah cakap tadi ... dia dah lama bawa moto, memanglah cekap. Tapi tang kerja tu kau kata cekap ... aku tak berapa setujulah, sentiasa kelam-kabut. Bukan tak pandai buat kerja tapi gopoh-gapah sangat ... tu yang jadi semua kelam-kabut. Hairan juga yek, macam mana dia boleh langgar tiang lampu isyarat, kalau orang langgar dia, lainlah cerita.
Naim: Memanglah cekap bawak mutu ... tapi cekap macam mana pun kalau dah cemekap, tu yang jadi cium tiang lampu!!
Arif: Eh! Cemekap ni kata ganda untuk cekap ke? Cekap cemekap ek? Kata ganda dengan sisipan - em -, ye?! Betul ke? Aku bahasa Melayu ni kurang sikit, SPM dulu cukup- cukup makan je dapat kredit. Tapi bahasa Inggeris, tak ada masalah ... lagi teruk! He! He! He!
Naim: Hey! Hang jangan nak buat lawak pulak. Cemekap tu bukan kata ganda cekap! Tu ... cara si Padil bawa mutu, cemekap sangat, tu pasai langgaq tiang lampu!
Arif: Macam mana pulak cemekap boleh sebabkan eksiden? Tak faham aku ni!!
Naim: Habis tu kalau dah bawak moto gopoh-gapah, laju tak tentu hala, kelam-kabut ... tu yang sangkut kat tiang lampu!
Arif: Bukan cekaplah yek?
Naim: Memanglah bukan cekap, tapi cemekap ... gopoh! Tak kan hang tak tau, selalu macam tu, asyik gopoh, kelam-kabut aja memanjang. Bawak mutu pun ikut macam tu.
Arif: Oo ... tu ka maksud cemekap, aku ingatkan cekap!
Naim: Tu la hang, dah lama kerja kat sini, tapi tak mau belajaq cakap orang sini.
Arif: Yalah! Ni aku tengah belajarlah ni ....
GLOSARI
Cemekap - (dialek Kedah) gopoh
Mutu - (dialek Kedah) motor/motorsikal
Jenih - (dialek Kedah) jenis
Moto - (bahasa pertuturan) motor/motorsikal
Eksiden - (bahasa pertuturan) kemalangan
p/s: Jutaan terima kasih kpd pihak Berita Harian dan Prof Madya Dr Nor Hisham Osman, Pensyarah Jabatan Linguistik, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya.